LEGA kerana belum ada kes doping membabitkan atlet angkat berat negara setakat ini.

Begitulah reaksi ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Nasir Ali yang menghela nafas panjang sambil mengharapkan tiada langsung isu doping membelenggu atlet sehingga temasya Kemboja 5 hingga 17 Mei berakhir.

Nasir yang juga Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkata, barisan atlet negara ‘dipantau rapi’ ketika mereka membuat persiapan untuk beraksi di temasya sukan itu.

Majoriti barisan atlet ketika ini menjalani latihan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil.

“Saya gembira kerana setakat ini kita tiada kes (doping), kita memantau mereka dengan sangat rapi. Angkat berat sentiasa dikaitkan dengan doping tetapi pada masa ini mereka bersih daripada isu itu, yang mana ia sangat bagus,” katanya, ketika ditemui selepas larian obor Sukan Sea Kemboja di perkarangan menara Kementerian Belia dan Sukan, pada Selasa.

Malaysia terpalit dengan beberapa kes doping sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk tiga kes ketika saringan sebelum Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu dan dua sebelum temasya bermula lagi.

Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali lega sukan angkat berat masih bebas doping.

Nasir berkata, skuad angkat berat negara mengintai sekurang-kurangnya satu perak dan satu gangsa pada Sukan Sea kali ini walaupun ketiadaan dua atlet terbaik mereka iaitu Aznil Bidin dan Aniq Kasdan yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel.

“Aniq dan Aznil tidak akan ke Kemboja kerana mereka akan bersaing dalam acara kelayakan Olimpik (Kejohanan Asia) di Korea Selatan.

“Walaupun sasaran yang kami tetapkan tidak setinggi sukan lain, kami tetap menyasarkan pingat.

“Kami berharap atlet seperti Erry Hidayat (bawah 73 kg lelaki) dan Atikah Mohamad Sobri (bawah 59 kg wanita) serta yang atlet lebih muda dapat mempamerkan prestasi terbaik.

“Dalam sukan angkat berat, kuncinya ialah memastikan atlet sentiasa fokus dan bersedia dari segi mental,” kata Nasir.

Malaysia memenangi satu perak dan tiga gangsa pada Sukan Sea Hanoi tahun lalu.