AKADEMI Badminton Malaysia (ABM) perlu memilih seorang pemain perseorangan lelaki, bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Justin Hoh, yang terpaksa melupakan Sukan Sea Kemboja, selepas mengalami kecederaan tendon Achilles.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann berkata, pihaknya memerlukan masa untuk membuat penelitian terperinci sebelum membuat keputusan tentang pengganti kepada Justin.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Wong Choong Hann yakin pemain muda mampu menyerlah di Sukan Sea Kemboja.

Bagaimanapun pemain yang akan dipilih hanyalah daripada senarai panjang pendaftaraan penyertaan yang telah dikemukakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini, sekali gus tidak akan ada pemain baru di luar senarai yang sudah dibuat sebelum ini, akan dibawa ke Phnom Penh.

“Kita dalam proses mengenal pasti, dan keputusan akhir akan diumumkan dalam tempoh satu dua hari sahaja lagi,” kata Choong Hann dalam sidang media di ABM, Bukit Kiara.

Setakat ini, Leong Jun Hao kekal akan menggalas tugas dalam acara individu, manakala Ong Ken Yon dan Lee Shun Yang pula akan menggalas tanggungjawab dalam acara berpasukan lelaki.