LANGKAH Chelsea mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara agak sukar. Bagaimanapun, pengurus sementara Frank Lampard masih mengharapkan keajaiban buat The Blues.

Lampard mengetuai Chelsea ketika bertandang ke Santiago Bernabeu, awal pagi Khamis berdepan Real Madrid selaku tuan rumah. Chelsea tidak digemari untuk menang walaupun mereka mempunyai rekod yang baik di tempat sendiri menentang Madrid.

Beraksi di bawah tekanan tuan rumah sejak minit awal, gawang Chelsea bolos pada minit ke-21 hasil jaringan Karim Benzema. Selepas itu, Chelsea sebenarnya masih mampu bertahan daripada serangan Madrid.

Bagaimanapun, kad merah Ben Chilwell pada minit ke-59 menyukarkan mereka untuk bangkit dan mereka bolos semula pada minit ke-74 menerusi jaringan Marco Asensio.

Pengadil melayangkan kad merah kepada Ben Chilwell pada minit ke-59.

Chelsea tewas 0-2 dan perlu menanggung beban berat untuk menang dengan kelebihan tiga gol di Stamford Bridge minggu depan. Melihat kepada prestasi pasukan baru-baru ini, misi itu nampaknya sukar untuk dilaksanakan.

Penyokong pula tertanya-tanya, macam mana nak menang, kerana untuk jaringkan gol memang susah untuk Chelsea ketika ini.

Bagaimanapun, Lampard tidak mahu kehilangan harapan terlebih dahulu dan masih yakin dengan peluang Chelsea untuk layak ke empat terbaik.

Ia selepas Lampard melihat Chelsea masih boleh menentang Madrid walaupun bermain dengan 10 orang.

“Saya berbangga dengan persembahan 10 pemain. Kekecewaan kami adalah terlalu mudah untuk memberikan set-piece kepada lawan dan sukar untuk bangkit semula. Saya tidak fikir mereka boleh mendominasi apabila kami bermain dengan 10 pemain. Ia adalah kerana semangat. Kami mempunyai banyak peluang – Joao Felix, Raheem Sterling, Mason Mount.

“Ada beberapa yang bagus tetapi keputusan yang paling penting di sini. Sesuatu yang istimewa boleh berlaku di Stamford Bridge. Kami harus percaya dengan itu.

“Kami masih boleh memberi banyak kerana pasukan ini benar-benar bagus. Ia hanya kekurangan keyakinan.

“Pemain tidak tahu betapa bagusnya mereka. Kami akan bertarung minggu depan,” kata Lampard kepada BT Sport.