DALAM tempoh waktu yang singkat, legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei percaya barisan kejurulatihan badminton berdepan tugas sukar mempersiapkan pasukan menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos tahun hadapan.

Katanya, lebih menyukarkan adalah sikap dan pemikiran pemain generasi baharu yang memiliki menteliti jauh berbeza berbanding ketika beliau bergelar sebagai pemain.

Justeru, Chong Wei yang dilantik sebagai pengurus pasukan badminton ‘Road to Gold’ (RTG) sedia mengubah pendekatan bagi menyesuaikan diri dengan era baharu sukan badminton negara.

Datuk Lee Chong Wei di puncak kegemilangan, suatu masa dahulu. -Sumber Instagram leechongweiofficial

“Generasi muda memang berbeza jika dibandingkan dengan zaman saya. Saya sudah cakap yang paling susah adalah jurulatih kerana apa sahaja perkara perlu berbincang dengan pemain terlebih dahulu.

“Kalau dahulu, jurulatih tidak ada bincang dengan saya. Mahu berlatih, kamu berlatih, jika tidak lebih baik balik rumah. Memang mencabar kerana mentaliti dan persekitaran sangat berbeza.

“Sekarang saya sudah jadi pegawai pasukan, jadi perlu ubah pendekatan tetapi kita tidak boleh manja sangat, perlu keras sikit. Jika terlalu manja, nanti mereka fikir kita perlukan dia, bukannya dia perlukan kita,” katanya.

BAM memilih Datuk Lee Chong Wei sebagai pengurus pasukan badminton dalam RTG.

Kelmarin, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan melantik Chong Wei sebagai pengurus pasukan badminton RTG atas kapasiti pengalaman serta pengetahuan yang dimiliki ketika bergelar pemain.

Dalam pada itu, Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik mengingatkan pemain sedia ada supaya menjaga disiplin sekiranya memiliki impian bergelar pemain terbaik dunia.

“Satu dunia sudah tahu apa yang diperlukan untuk memiliki mentaliti kelas dunia, iaitu disiplin. Saya boleh cakap pemain ternama tanpa disiplin tidak akan menjadi pemain terbaik, jadi semua pemain perlu menjaga disiplin dan sikap masing-masing.

“Tempoh masa sebagai atlet sangat pendek, jadi mereka perlu menjaga banyak perkara termasuk waktu rehat dan tidur. Kalau dah bersara seperti saya, tak mahu tidur pun tidak mengapa kerana tiada orang peduli,” ujarnya.