SKUAD Futsal Lelaki Kebangsaan pulang dengan tangan kosong meskipun berjaya bangkit dari ketinggalan 4-0 pada babak pertama untuk seri 4-4 pada perlawanan terakhir kumpulan dalam acara Futsal Lelaki Sukan Sea ke-31, Vietnam di Stadium Tertutup Ha Nam.
Kedua-dua pasukan turun untuk cuba mencari kemenangan pertama dan Myanmar menunjukkan kesungguhan awal apabila berjaya mendahului empat gol pada babak pertama.
Gawang Malaysia dirobek empat kali dalam tempoh lima minit menerusi gol oleh Thyne Phwet Aung pada minit ke-14 dan ke-19, Myo Thet Aung juga minit ke-14 dan Myo Myint Soe seminit kemudiannya.
Malaysia memperkemaskan aksi pada babak kedua dan berjaya mendapat dua gol menerusi Ekmal Shahrin pada minit ke-25 dan Azri Rahman lima minit kemudiannya untuk merapatkan jurang.
Taktikal ‘power play’ yang diterapkan pada hujung perlawanan membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya mendapat dua gol hasil penalti Ekmal Shahrin dan jaringan Khairul Effendy seminit sebelum tamat.
Dengan keputusan seri ini, Malaysia hanya mampu mengutip satu mata dari empat perlawanan kumpulan dan menduduki tangga terbawah dari lima pasukan yang mengambil bahagian.