PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe sedar sejak hari pertama mengambil alih tugasan musim lalu tentang keinginan penyokong yang mahu melihat Gergasi Merah kembali beraksi di peringkat Asia.

Kini Selangor berpeluang untuk menamatkan kemarau ke Asia menerusi kejohanan Piala FA namun laluan berliku menanti apabila terpaksa berhadapan juara 2018, Sri Pahang FC di pusingan kedua pada Sabtu.

Apa yang menarik pertemuan ini adalah ulangan perlawanan akhir Piala FA 2018 di mana Selangor terlepas peluang mendapatkan slot ke Asia selepas tewas 0-2 menerusi jaringan Azam Azih dan Patrick Cruz ketika itu.

Tan Cheng Hoe

“Sebelum saya mengambil tugas sebagai jurulatih, kita tahu sasaran penyokong yang mahukan Selangor berjaya di peringkat Asia. Itulah satu cabaran dan motivasi buat saya untuk bawa pasukan ini ke satu tahap yang lain.

“Tapi dalam masa singkat ini, kita perlu realistik dengan sasaran dan perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Tidak boleh terlalu awal dapatkan sasaran itu kerana pasukan ini ramai pemain muda yang mencari keserasian dalam pasukan, oleh itu kita perlu realistik,” katanya menjawab soalan FLASH SUKAN.

Sebagai rekod, Selangor adalah pasukan paling berjaya dalam saingan Piala FA sejak diperkenalkan pada 1990 dengan muncul juara sebanyak lima kali namun kali terakhir Gergasi Merah menjulang piala ini adalah pada 2009.

 

 

Kali terakhir Selangor membuat penampilan di pentas Asia adalah pada 2016 dalam Piala AFC yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan.