KEMANTAPAN barisan serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dapat disangkal lagi apabila berjaya meledak gol demi gol pada setiap hari perlawanan terutama pada musim 2022 dan kini pada musim 2023.

Gandingan Bergson Da Silva, Arif Aiman dan Fernando Forestieri cukup menggerunkan barisan pertahanan lawan tanpa mengira kejohanan di peringkat domestik mahupun di peringkat Asia dan berjaya mengatasi trio PSG, Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Neymar.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan laman transfermarkt.com, gandingan trio serangan JDT ini mendahului senarai penjaring terbanyak untuk musim 2022/2023 mengatasi beberapa kelab Eropah dan Amerika Latin seperti Manchester United, Paris Saint Germain dan Flamengo.

Dengan jumlah keseluruhan 79 jaringan sejak 2022, JDT mendahului senarai dihadapan Manchester City dengan 72 gol, Flamengo 71 gol, Fluminense 69 gol dan PSG dengan 68 gol.

Bergson Da Silva adalah peledak paling prolifik dengan 46 gol mengatasi Erling Haaland (45 gol), German Cano (44 gol) dan Kylian Mbappe dengan 31 gol manakala Fernando Forestieri menyumbang 25 gol dan Arif Aiman dengan lapan gol buat JDT.

Apa yang lebih membanggakan adalah nama pemain muda tempatan, Arif Aiman berjaya bersaing dengan bakat-bakat terbaik dunia dan ini membuktikan dia mempunyai bakat luar biasa dan menjadi tunjang kejayaan JDT kini.

Tidak pernah terbayang nama pemain tempatan akan diletakkan sebaris dengan penyerang prolifik dan terbaik dunia tetapi kini ianya sudah menjadi kenyataan dan Arif juga dilihat semakin berkembang dalam permainannya musim ini.

Tidak cukup dengan itu, Arif adalah antara pemain tempatan yang tersenarai selain Phil Foden untuk Manchester City dan Kylian Mbappe buat Paris Saint Germain manakala kelab dua kelab Brazil diwakili pemain tempatan mereka.

Jumlah jaringan antara trio ini pasti akan bertambah dan berubah selepas perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan PDRM pada Jumaat kerana berdasarkan prestasi semasa, JDT dilihat begitu dahagakan gol dan sudah menjaringkan 36 gol dari lapan perlawanan Liga Super.

Skuad Harimau Selatan juga muncul satu-satunya pasukan dari Asia yang tersenarai dalam statistik ini sekali gus membuktikan kejayaan JDT sudah mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan ini akan membantu meningkatkan nilai komersil Liga Malaysia.