BARISAN pemain Kuching City FC diminta supaya membuang sikap merendah diri bagi memastikan mereka boleh bersaing dengan baik dalam aksi Liga Super.

Setakat ini, Kuching City masih lagi gagal meraih kemenangan dalam lapan perlawanan selepas memulakan kempen dengan kejayaan menewaskan Kelantan 1-0 di tempat lawan.

Dapat dilihat segalanya tidak menjadi buat Kuching City dengan hanya tambahan satu mata berjaya diperolehi dan kini menduduki tangga ke-12 dari 14 pasukan yang bertanding dalam Liga Super.

Sulaiman Hussin

Namun begitu barisan kejurulatihan menerusi penolong jurulatih, Sulaiman Hussin masih percaya pasukan ini akan bangkit tetapi para pemain perlu ada keyakinan pada diri dan tidak boleh merendah diri kerana mereka kini beraksi di Liga Super dan saingan yang diberikan sememangnya lebih tinggi jika dibandingkan Liga Premier.

“Saya percaya pasukan ni akan bangkit. Segala kekalahan itu wajar di ambil serius oleh barisan pemain dan mereka tidak boleh terlalu merendah diri apabila beraksi dalam Liga Super.

“Biarpun kami tidak ada pemain bintang dalam pasukan ini tetapi para pemain perlu rajin dan yakin kerana dalam bola sepak ini, kemenangan terhasil hasil kesilapan oleh itu pemain perlu kurangkan kesilapan dan tambahkan keyakinan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Kuching City kini akan berhadapan Sri Pahang yang masih belum tewas dalam saingan Liga Super tetapi tersentak apabila tewas 0-4 kepada Selangor dalam aksi Piala FA sekaligus tersingkir dan mungkin akan menjadikan Kuching City sebagai tempat untuk melupakan kekecewaan itu.

Kemenangan akan membawa Kuching City naik satu anak tangga dan merapatkan kedudukan dengan pasukan di tangga kesembilan dan kesepuluh tetapi sekiranya tewas sekali lagi, peluang untuk mengejar kelompok pertengahan semakin sukar.