PERBEZAAN bahasa memang kerap menjadi halangan ketika berada di luar negara terutama jika masyarakat sekitar tidak memahami bahasa antarabangsa seperti Inggeris. Flash Sukan mengalami situasi tersebut ketika membuat liputan Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Penulis bersama jurufoto, Mohd Izari Rosli tiba di Hanoi pada 10 Mei 2022 dan menginap di bahagian Westlake di sini.
Ketika ingin mendapatkan grab, bergantung kepada nasib kami. Jika bertemu yang boleh berkomunikasi bahasa Inggeris, maka tiada masalah. Yang jadi isu besar apabila sebahagian besar penduduk khusus di Hanoi dan Nam Dinh tidak fasih dan ada yang tidak faham langsung bahasa Inggeris dan ia agak menyukarkan kami.
Kebetulan, sepanjang membuat liputan Sukan SEA 2021, pasukan bola sepak bawah 23 tahun Malaysia bermain di Nam Dinh bersama tiga pencabar lain di Kumpulan A, iaitu Thailand, Laos, Singapura dan Kemboja.
Perjalanan dari Hanoi ke Nam Dinh cukup jauh, sekitar 90 kilometer lebih. Hanya ada teksi yang boleh memenuhi permintaan kami jika perlawanan berlangsung sebelah malam.
Perjalanan ke Nam Dinh mengambil jarak masa sejam atau satu jam 30 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.
Mujurlah, pemandu teksi kami boleh berbahasa Inggeris dan banyak membantu dalam berurusan dengan penduduk. Di Hanoi pada kebiasaannya mereka faham juga berkomunikasi berbanding di Nam Dinh dan Viet Tri yang majoritinya tidak faham bahasa Inggeris !
Akhirnya, kami menggunakan kaedah Google Translate dan Google Voice untuk diterjemahkan ke bahasa Vietnam.
Begitu pula sebaliknya ketika mereka ingin berborak dengan Flash Sukan. Dia bercakap dalam bercakap bahasa Vietnam melalui Google Translate untuk diubah menjadi bahasa Melayu.
Nama lokasi di Vietnam, termasuk Nam Dinh juga tidak mudah. Ia kerana, kebanyakan nama tempat termasuk jalan di Vietnam menggunakan sepenuhnya bahasa Vietnam.
Stadium Thien Truong, misalnya, yang menjadi saingan Kumpulan B skuad bola sepak Malaysia B-23. Nama Stadium Thien Truong Nam Dinh di Google Maps jika ditaip dalam bahasa Vietnam menjadi San van dong Thien Truong. Dalam bahasa Vietnam, San van dong bermaksud stadium. Selain San van dong, masih banyak nama-nama tempat atau jalan lainnya yang tidak sesuai dengan Google Maps.
Dalam kejadian semalam pun, penulis bersama Izari dan editor, Suryati Mohd Nor alami kejadian kelakar semasa ingin membuat laporan angkat berat di Pusat Sukan dan Pertandingan Hanoi (Trung Tâm Huấn Luyện TDTT Hà Nội).
Kami kebetulan berada di Hyatt Regency West Hanoi dan terus book grab dan bergerak menuju tempat dipesan. Rupa-rupanya hanya sebelah sahaja venue lokasi kami dan terpaksa membayar 200,000 dong untuk jarak tidak sampai 500 meter !
“Orang sini banyak yang tidak dapat berbahasa Inggeris. Bahkan untuk tempat seperti di hotel pun, juga susah bercakap Inggeris. Mujur ada Google Translate,” kata kawan penulis.