KEJOHANAN Akuatik Dunia 2023 yang akan berlangsung di Fukuoka, Jepun 14 hingga 30 Julai depan, menjadi sasaran utama olimpian negara, Ng Yan Yee atau dikenali sebagai Wendy Ng.

Penerjun berusia 29 tahun yang tiga kali beraksi di pentas Olimpik, iaitu di London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020, mahu memastikan sekali lagi layak ke temasya itu dan menjadikan kejohanan dunia di Fukuoka sebagai fokus utama.

“Sudah tentu saya juga harap dapat layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. Sebab saya juga merupakan atlet berpengalaman dan saya mahu capai keputusan terbaik dalam karier saya.

“Sebagai seorang atlet sudah pasti saya mahu berada dalam projek RTG tersebut. Jadi, saya meletakkan sasaran awal untuk berada dalam ranking 12 terbaik di Jepun nanti sekali gus melayakkan diri lebih awal di Paris 2024.

“Jika dapat layak awal ke Paris, jadi kami dapat melakukan persiapan lebih awal. Apapun, mungkin tugas di Jepun sangat sukar tetapi saya akan cuba lakukan terbaik,” katanya.

Ng Yan Yee akui sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik individu 3m papan anjal di Fukuoka tapi dia perlu dapatkan bagi melayakkan diri lebih awal ke Olimpik Paris.

Mengakui berharap dapat diserapkan ke dalam program Road to Gold (RTG), bersama dua rakan Nur Dhabitah Sabri dan Datuk Pandelela Rinong, Yan Yee juga boleh memburu slot kelayakan olimpik menerusi acara terjun seirama dengan menamatkan saingan di Fukuoka dalam kelompok tiga terbaik.

Ketika ditanya mengenai tahap kecederaan, Wendy mengakui keadaan diri bertambah baik dan berharap sesi latihan yang dijangka berpangkalan China nanti dapat meningkatkan terjunan sebelum ke Jepun pada Julai.

“Kecederaan saya semakin baik dan ketika ini saya juga mampu melakukan darjah kesukaran. Saya harap mampu perbaiki terjunan saya dalam baki tempoh ini. Mengenai latihan di China saya tak dapat pastikan, jika ada pasti memberi tambah nilai kepada terjunan saya di Jepun,” katanya.

Malaysia bakal mempertaruhkan seramai 12 penerjun ke Fukuoka, Jepun dengan harapan untuk cuba meraih slot ke Paris seawal mungkin, tanpa perlu menanti kejohanan dunia tahun hadapan.