SELANGOR FC tidak melihat faktor beraksi ketika bulan Ramadan sebagai masalah besar untuk para pemain mempamerkan aksi terbaik mereka dan mencatatkan kemenangan besar untuk pasukan.

Anak-anak buah Tan Cheng Hoe menutup kempen bulan Ramadan dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Terengganu FC untuk kemenangan kelima berturut-turut termasuk satu kemenangan di saingan Piala FA selepas tewas 0-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun Cheng Hoe tidak mahu pemain dibuai mimpi meskipun berada di tangga kedua Liga Super sebaliknya mereka perlu lebih bersedia dalam usaha untuk mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang.

“Pemain cukup fokus pada aksi bulan puasa jadi sebagai jurulatih, saya bangga dengan situasi itu apabila kita mampu berjaya menang dalam semua perlawanan dalam bulan Ramadan.

“Itu satu pencapaian yang baik tetapi penambahbaikan masih lagi diperlukan kerana kita perlu konsisten dari satu perlawanan ke satu perlawanan apatah lagi dengan musim yang cukup panjang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perkembangan yang sama, Cheng Hoe juga melihat keseimbangan daripada setiap posisi yang ada dalam pasukan ketika ini turut membantu barisan kejurulatihan mencorak percaturan yang lebih mantap dalam setiap perlawanan.

“Kita ada skuad yang seimbang dan barisan pemain simpanan yang baik. Jadi setiap pemain perlu menunjukkan persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan sekali gus persaingan yang sihat dapat dicetuskan dalam merebut kesebelasan utama dan pasukan harus kekalkan momentum dan keyakinan ini untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” tambahnya yang tersenyum lebar sepanjang sidang media.

Menerusi empat kemenangan berturut turut dalam Liga Super itu, Selangor mengekori rapat Johor Darul Ta’zim di tangga kedua dan berkelebihan tiga mata mengatasi pasukan di tangga ketiga, Sri Pahang FC menjelang aksi bertemu Sabah selepas Aidilfitri.