PEMAIN muda Selangor FC, Harith Haiqal mahu menggunakan peluang beraksi untuk membuktikan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe bahawa dia layak untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Dia yang melakukan debut dengan skuad senior Selangor FC ketika aksi Piala FA menentang Sri Pahang FC mendapat pujian barisan kejurulatihan dan akhirnya memberikan peluang untuk dia beraksi dalam Liga Super menentang Terengganu FC.

Tambah manis buat pemain berusia 21 tahun itu, dia berjaya menjaringkan gol debutnya dengan skuad senior ketika membantu Selangor membelasah Terengganu 5-1 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Selasa.

Harith meraikan jaringan sulungnya dengan Selangor FC.

Dia menganggap rezekinya untuk menjaringkan gol debut itu dan dia turut menyatakan pemain-pemain senior dalam pasukan banyak membantu dirinya untuk beraksi lebih yakin dan bersemangat.

“Syukur Alhamdulillah untuk kemenangan ini, rezeki saya dapat jaringkan gol tetapi apa yang penting adalah pasukan mendapatkan kemenangan. Saya gembira dapat jaringkan gol sebab tahun ini baru dua perlawanan saya berada dalam kesebelasan utama, saya cuma mahu buktikan kepada jurulatih yang saya juga boleh berada di kesebelasan utama.

“Sebagai pemain muda saya tidak ada masalah untuk sesuaikan diri kerana pemain-pemain senior dan kebangsaan dalam pasukan seperti  Brendan Gan, Faisal Halim, Khairulazhan Khalid dan Mukhairi Ajmal banyak memberi semangat kepada saya untuk beraksi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

 

Sementara itu dia turut mengulas mengenai pemilihannya ke dalam skuad B-22 tahun ke Sukan SEA Kemboja Mei ini dan dia mahu membawa Malaysia mara lebih jauh dari tahun lalu.

Harith turut mengakui terdapat tekanan untuk beraksi di Sukan SEA  tetapi sebagai pemain dia dan teman sepasukan harus menyerap segala tekanan yang datang dan berikan aksi terbaik.

“Sasaran saya untuk Sukan SEA kali ini untuk mara lebih jauh berbanding tahun lalu iaitu ke perlawanan akhir. Sudah pasti ada tekanan dalam setiap kejohanan namun kami perlu adaptasi keadaan dan lakukan yang terbaik dan jika ada rezeki, InshaAllah kita ke final,” tambahnya.

Gol pada minit ke-40 ketika menewaskan Terengganu sudah pasti menjadi sejarah buat dirinya yang semakin mendapat perhatian para penyokong bola sepak tempatan dan kini dia mahu berikan yang terbaik bukan sahaja buat Selangor tetapi juga skuad kebangsaan