MEMPERBAIKI pencapaian di Hanoi, menjadi keutamaan pemain tenis negara, Imran Daniel Abd Hazli, sebaik namanya tersenarai ke Sukan SEA Kemboja.

Remaja berusia 18 tahun itu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya pingat perak dalam acara berpasukan lelaki untuk dibawa pulang ke tanah air, sekali gus mengatasi pencapaian temasya Vietnam.

“Sasaran saya tahun ini adalah sekurang-kurangnya mendapat pingat perak, jika tidak berjaya perlu dapatkan gangsa.

“Pingat perak yang disasarkan itu dalam acara berpasukan kerana di Hanoi, kami meraih gangsa sahaja.

“Sasaran diletakkan pada acara berpasukan kerana acara individu baik perseorangan mahupun beregu agak sukar untuk kita meraih pingat kerana pemain negara lain jauh lebih berpengalaman selain menyertai banyak kejohanan antarabangsa selepas Sukan SEA Hanoi tahun lalu,” katanya yang tetap akan cuba mendapatkan medal dalam acara individu.

Sukan Sea Kemboja menjadi penampilan kedua Imran Daniel.

Mengakui tiada tekanan untuknya mempamerkan aksi terbaik pada penampilan kedua di temasya dwi tahunan ini: “Sejujurnya saya tidak ada tekanan kerana saya sentiasa akan cuba berikan permainan terbaik, berdisiplin dan mendedikasikan kerja keras saya di gelanggang.”

Lahir dari keluarga yang bergelumang dalam sukan tenis, Imran Daniel mula memegang raket seawal usia dua tahun.

Menurutnya, persiapan skuad tenis negara kali ini tidak sebaik menghadapi saingan di Hanoi.

Dia yang akan beraksi dalam acara berpasukan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran perlu melupakan aksi perseorangan lelaki yang disertainya di temasya lalu.

“Saya dapat mengadaptasi dengan baik dalam acara beregu kerana banyak menjalani latihan, malah keputusan dalam acara beregu agak memberangsangkan,” katanya.

Imran Daniel memberitahu, dia mungkin tidak meraikan hari raya tahun ini kerana bakal mengambil bahagian di Turkiye, sebelum ke Kemboja.

Pada temasya Hanoi, skuad tenis negara meraih dua pingat gangsa melalui acara berpasukan lelaki dan beregu wanita.