MENJADI anak kelahiran Melaka, menambah warna dalam kehidupan bekas atlet skuasy negara, yang kini berkecimpung dalam bidang pentadbiran sukan, Sharon Wee.

Biarpun berbangsa Tionghua, Sharon bukan hanya fasih berbahasa Melayu, malah turut dipengaruhi budaya orang Melayu dari segi kesantunannya dan cara menunjukkan rasa hormat kepada orang lain.

Malah Sharon, 45, masih terbawa-bawa rutin zaman kanak-kanaknya, ternanti-nanti ketibaan lebaran.

“Saya sentiasa tunggu hari raya dan akan memakai baju kurung untuk meraikannya bersama rakan-rakan.

“Malah saya juga akan terlibat dalam ‘duit raya hunting’, pagi-pagi lagi akan beraya ke rumah kawan-kawan, dapat makan rendah ketupat, membuatkan saya rasa dirahmati sebagai rakyat Malaysia,” kata bekas pemain skuasy antarabangsa yang kini terlibat langsung dalam bidang pentadbiran sukan skuasy sebagai Naib Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), selain pernah bergelar pengulas sukan wanita tanah air.

Sharon kelihatan cantik berbaju kurung. Foto: IG Sharon

Tinggal di kejiranan ramai masyarakat Melayu di Batu Berendam, Melaka, Sharon mengakui jika orang hanya mendengar suaranya berbicara, akan menyangka dia adalah seorang budak Melayu.

“Saya fasih berbahasa Melayu malah jiran dan kawan-kawan saya memanggil saya dengan nama Sarimah,” kata Sharon sambil ketawa ketika menceritakan perihal dirinya menyambut hari raya aidilfitri.

Hari raya kali ini juga mengingatkan Sharon kepada seorang sahabat Melayu lelaki yang dikenali sebagai Anuar: “Saya terhutang budi kepada Anuar yang menyelamatkan nyawa saya ketika terlibat dalam kemalangan pada usia 18 tahun.

“Dalam kemalangan itu, saya mengalami pendarahan dalaman, pankreas pecah separuh dan limpa juga pecah, mujur Anuar selamatkan saya,” katanya.