PENYERANG import Selangor FC, Rauf Salifu sangat teruja menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia buat kali pertama.
Selepas menyertai Selangor FC dari kelab Sporting Kansas City II FC di Amerika Syarikat, Rauf gembira kerana sebagai pemain beragama Islam dia berpendapat Malaysia adalah negara yang memahami kehendak pemain bola sepak Muslim professional.
Menurutnya, Ramadan di sini sangat baik kerana sesi latihan dijalankan pada sebelah malam dan pemain dapat menjalani ibadah puasa dan solat terawih dengan sempurna sebelum bekerja keras sebagai satu pasukan.
“Saya gembira di Malaysia sebagai pemain Muslim kerana negara ini lebih memahami kehendak pemain Muslim profesional jika dibandingkan di Amerika Syarikat sebelum ini.
“Ramadan di sini sangat bagus kerana latihan berlangsung pada sebelah malam dan saya dapat berpuasa dan berterawih terlebih dahulu sebelum turun ke pusat latihan bersama rakan-rakan lain.
“Saya teruja untuk menyambut Aidilfitri di Malaysia. Ini adalah kali pertama saya disini dan saya dapat tahu mereka meraikan Aidilfitri secara meriah jadi saya mahu lihat sendiri bagaimana keadaannya,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Bakal berusia 21 tahun pada Syawal kedua nanti, Rauf gembira kerana diberikan peluang beraksi oleh Tan Cheng Hoe dan dia mempunyai misi untuk menjaringkan lebih banyak gol dan membantu Selangor untuk memenangi piala.
“Saya gembira dapat bantu Selangor dan InshaAllah saya mampu beri lebih kepada pasukan ini. Sebagai penyerang saya mahu bantu pasukan ini menang lebih banyak piala dan mahu jaringkan lebih banyak gol,” katanya.
Rauf kini sudah melakukan dua penampilan bersama Selangor dan menjaringkan dua gol ketika membantu Gergasi Merah mengatasi Kelantan FC dalam saingan Liga Super sekali gus menarik perhatian penyokong setia skuad Merah Kuning.