MESKIPUN sudah menempa kejayaan besar dalam kerjaya sebagai atlet, Tan Cheong Min tetap teruja untuk membuat penampilan pertama di pentas Sukan Sea di Phnom Penh, Kemboja.
Empat tahun menunggu untuk dipilih mewakili negara ke temasya serantau, Olahragawati Kebangsaan 2019/2020 itu akhirnya dipanggil membuat penampilan sulung di temasya dwi tahunan itu.
Baru berusia 24 tahun, Cheong Ming sudah bergelar juara dunia dan mewakili negara di Sukan Asia Jakarta 2018, dan hanya kali ini berpeluang terpilih ke Sukan Sea.
Pada dua penganjuran terakhir di Filipina (2019) dan Vietnam (2021), sukan wushu tidak mempertanding acaranya iaitu Nanquan/Nangun dan Nandao individu serta Duilian berpasukan.
Justeru, atlet kelahiran Melaka itu tidak mahu mensia-siakan peluang yang hadir kali ini dengan mengintai peluang untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Bagaimanapun, dia sedar tidak ada laluan mudah biarpun hadir dengan status selaku juara dunia.
Cheong Min yang menjadi atlet wushu pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan, akan beraksi dalam acara Nanquan/Nangun dan Nandao individu serta Duilian berpasukan pada temasya di Kemboja.
“Akhirnya saya dapat mewakili negara ke Sukan Sea untuk melengkapkan penyertaan dalam semua peringkat.
“Seperti setiap atlet, matlamatnya adalah untuk meraih emas, tetapi yang lebih penting saya mahu mempamerkan prestasi yang baik untuk mengelakkan potongan mata atau kesilapan.
“Sudah pastinya cabaran sengit akan hadir daripada peserta Indonesia, Vietnam dan Myanmar.
“Namun, yang paling penting adalah berjuang dengan diri sendiri kerana walaupun ada skill hebat, tapi kalau mental tak bagus ketika pertandingan, tak guna juga,” katanya.
Cheong Min muncul juara dunia pada 2019 di China selepas memenangi emas acara Nandao serta perak bagi Nanquan dan Duilian bersama Phoon Eyin dan Loh Ying Ting.
Temasya di Kemboja menyaksikan acara Nandao dan Nangun digabungkan menjadi acara menawarkan satu pingat di Sukan Sea.
Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) meletakkan sasaran untuk membawa satu emas pada Sukan Sea Kemboja kali ini.
Selain Cheong Min, antara yang menjadi pertaruhan untuk membawa pulang pingat untuk negara adalah Clement Ting Su Wei dan Tan Zhi Yan yang sebelum ini meraih emas untuk negara pada edisi lalu.
Di Sukan Sea Hanoi tahun lalu, pasukan wushu negara membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa untuk berada di tangga kelima daripada 10 negara yang menyertai sukan berkenaan.