KEBANJIRAN penonton ke Stadium Likas, ditagih pertahanan Sabah FC, Daniel Ting dalam usaha pasukan itu memastikan tiga mata berharga diraih di laman sendiri, ketika menanti kunjungan Selangor FC.
Hasrat Daniel itu disuarakan selepas sesi latihan Sang Badak pada Rabu, kerana yakin sokongan padu penyokong mampu memberi tonik tambahan buat pasukan.
“Sejujurnya, saya mahukan lebih ramai penyokong setia Sabah FC di gelanggang sendiri.
“Saya tidak bimbangkan prestasi Selangor, selagi kami dapat bermain cara kami dan memenangi perlawanan.
“Kami perlu menang untuk terus bersaing dalam liga,” kata Daniel.
Berdasarkan rekod, kehadiran penonton ke Stadium Likas paling tinggi adalah ketika perlawanan pertama Sabah FC menentang PDRM FC, apabila seramai 12,602 penyokong hadir, berbanding kapasiti tempat duduk yang mampu memuatkan 22,000 penonton di stadium terbabit.
Daniel mengakui selesa dengan perancangan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee, memberikannya lebih banyak peranan untuk terlibat dalam gerakan ke kubu lawan, seperti dipamer pada aksi menentang Kelantan.
Sementara itu, pemain tengah Stuart Wilkin membayangkan perlawanan menentang Gergasi Merah sebagai tidak mudah, selepas skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu mula memahat nama sebagai salah satu pasukan terbaik musim ini.
“Paling penting adalah keputusan yang positif, apa lagi ketika kami berada pada momentum terbaik ketika ini.
“Pada perlawanan terakhir, kami berjaya memperoleh banyak gol dan saya amat sukakan corak menyerang yang kami amalkan ini,” kata Stuart.