KETUA jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain berkata tiada jalan mudah buat skuadnya kecuali mendapatkan tiga mata apabila turun menentang Negeri Sembilan FC untuk aksi ke-10 Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Ini kerana NSFC di bawah kendalian K Devan juga berada dalam prestasi yang baik dengan tidak mengalami kekalahan dalam dua aksi sebelum ini dan atas sebab itu Nafuzi menuntut semangat juang dan keyakinan yang tinggi daripada pemainnya untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Dia juga menganggap perlawanan yang bakal dihadapi Sang Kenari ini sebagai misi mencabar kerana perlu bangkit semula selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Ta’zim dan Kuala Lumpur City FC sebelum ini.
“Saya mahu semua pemain hadir dengan kekuatan yang kami harapkan iaitu melalui kerjasama yang baik dan juga aksi secara berpasukan seperti yang telah dirancangkan semasa latihan.
“Untuk mencapai misi tiga mata ini, kami perlu terus fokus dengan menampilkan disiplin tinggi dalam semua posisi termasuk ruang pertahanan dan juga serangan yang perlu kami perkukuhkan.
“Selepas dikecewakan kali kedua, kami mahukan persediaan yang baik dan saya harap pada hari perlawanan nanti pemain dapat mengatasi setiap tekanan dan cabaran kerana bermain di tempat lawan tidak mudah buat kami,” katanya.
Kedah kini berada pada ditangga kelima Liga Super mengumpul 16 mata selepas sembilan perlawanan dengan lima kemenangan, satu seri serta tiga kekalahan dan kemenangan di Paroi pada Jumaat akan mengukuhkan lagi kedudukan Sang Kenari untuk terus menjadi pencabar musim ini.