MASIH terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi atau menyatakan kemungkinan pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia akan digugurkan dari program Road To Gold (RTG) Sukan Olimpik Paris 2024
Perkara ini disahkan sendiri oleh Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin yang secara persendirian menyedari prestasi tidak konsisten Zii Jia ketika ini selepas sekali lagi tewas pada pusingan awal kali ini di Kejohanan Badminton Asia (BAC).
“RTG ini dipengerusikan oleh YB Menteri Hannah Yeoh bersama Tan Sri Norza Zakaria dan kita akan membuat penilaian terhadap prestasi atlet-atlet ini pada setiap dua bulan. Kemungkinan ada pemain-pemain baharu akan diserap ke dalam program ini.
“Jadi untuk mengatakan Lee Zii Jia terkeluar dari RTG, ini masih terlalu awal kerana kita mahukan perkara yang positif bukan hanya dari Zii Jia tetapi juga daripada semua atlet kerana kita mahukan yang terbaik.
Hamidin juga berharap agar Zii Jia dan pasukan badminton negara akan kembali kepada prestasi sebenar dan lebih konsisten kerana mereka masih mempunyai masa kira-kira setahun sebelum temasya Olimpik berlangsung.
“Saya masih lagi optimis kerana kita ada masa setahun lagi. Apabila mereka pulang ke tanah air nanti, saya akan mengadakan satu pertemuan dengan pasukan badminton negara secara tertutup.
“Apabila kita telah bersedia untuk pergi ke Olimpik, Insha Allah pemain-pemain ini akan layak ke Olimpik. Kita kena bagi latihan dan kerja yang kuat,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Sabtu.
Hamidin juga mengharapkan semua atlet yang terlibat untuk kekal positif dan tidak mengalah sebelum berjuang kerana masih ada masa untuk mereka memperbaiki prestasi masing-masing.