TEMASYA Sukan SEA 2023 akan menyingkap tirainya tidak lama lagi dan gendang pertarungan sudah mula dipalu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Ahad.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam ucapannya menyampaikan amanat penuh berapi-rapi membakar semangat para atlet dan kontinjen Malaysia kelihatan tidak sabar memulakan pertempuran.

Beliau berkata, kali ini ramai yang bertanyakan mengenai sasaran ditetapkan di kejohanan dwitahunan itu.

“Saya akui sasaran pingat memang penting, tetapi itu bukanlah satu-satunya kayu pengukur menentukan sama ada misi kita ke Kemboja berjaya atau sebaliknya.

“Banyak perkara dan aspek sudah kita perhalusi sebelum menetapkan sasaran pingat untuk kontinjen negara.

“Sasaran ditetapkan kali ini amat realistik, seiring keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MSN menyenaraikan hampir 65 peratus atlet yang bakal membuat kemunculan kali pertama di pentas Sukan SEA.

“Oleh itu, sasaran ditetapkan adalah 40 emas, 37 perak dan 64 gangsa,”  katanya di Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-32 Kemboja.

Pada edisi terakhir di Hanoi tahun lalu, Malaysia melepasi sasaran 36 pingat emas dengan mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan apabila mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa namun, itu pencapaian terburuk kontinjen negara sejak 1983.

Hadir sama, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Sementara itu, Hannah turut menuntut setiap atlet yang bertanding agar berjuang bersungguh-sungguh dan mempamerkan dedikasi serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

“Berjuanglah demi Malaysia. Anda memegang peranan penting untuk mencipta perpaduan seluruh negara. Di bahu anda semua, kami berharap dan percaya, anda semua tidak akan menghampakan.

“Ingatlah, kita semua bersatu dan bersama-sama dalam perjuangan ke Sukan SEA Kemboja kali ini. Kita tunjukkan kemampuan atlet Malaysia.

“Kepada atlet kontinjen negara, inilah masanya untuk anda semua menyerlah. Bangkit dan berjuanglah demi Malaysia.

“Anda kebanggaan kami, anda wira perpaduan yang sentiasa dalam hati dan sanubari kami,” katanya lagi.

Sukan SEA 2023 akan dibuka secara rasmi pada 5 Mei dan berakhir 17 Mei depan.