PEMILIK Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berpuas hati aksi dipamerkan Sang Kenari termasuk persembahan awang import dari Brazil, Willian Lira.

Kedah kembali di landasan kemenangan membenam Negeri Sembilan FC 2-1, yang terdahulu kalah dua kali berturut-turut dan mengalami kerugian hilang enam mata di pentas Liga Super.

“Lira sudah mula menunjukkan kukunya. Tahniah semua pemain dan pasukan kejurulatihan. Tahniah juga penyokong yang kedengaran laungan serta nyanyian mereka di Paroi.

“Anda memang hebat. Terima kasih yang mendoakan dari jauh. Kita jangan ‘kenduq’ ,” kataya dalam catatan di Facebook.

Lira yang pernah beraksi dalam saingan Liga Jepun dan Serie A Brazil menyumbat dua gol untuk memberikan kelegaan skuad pimpinan Nafuzi Zain sebelum saingan liga berehat selama tiga minggu.

Daud tanpa berselindung mengakui perlawanan tersebut amat cemas dan dirinya agak gementar.

Namun, beliau lega apabila rata-rata pemain Sang Kenari mempamerkan karakter ingin mendapatkan bola, penguasaan kawalan dan ada daya saing ingin maju ke hadapan.

“Tabik spring kepada semua yang masih memberi harapan dan kepercayaan kepada Sang Kenari,” katanya lagi.