PASUKAN universiti, UiTM FC berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan Perak 2-0 dalam aksi Liga Premier di Stadium Perak, Ipoh.

Skuad Perak yang baru mendapat suntikan dana gagal mempamerkan aksi cemerlang dan berputih mata selepas dua jaringan Izham Solehin dan Farez Aiman memberikan tiga mata penuh buat anak buah Ismail Ibrahim.

Kekalahan ini menyaksikan Perak kekal di tangga terbawah dengan negatif tiga mata manakala UiTM FC kini di tangga kelapan dengan enam mata sekaligus berjaya menjarakkan diri dari zon relegasi.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, PDRM kembali ke landasan kemenangan apabila berjaya membenam cabaran Skuad Projek FAM-MSN 1-0.

Gol tunggal jaringan Nabil Ahmad Latpi pada awal babak kedua sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh untuk PDRM selepas menjalani empat perlawanan tanpa kemenangan.

Kemenangan ini berjaya melonjakkan PDRM ke tangga keenam liga dengan 10 mata dari lapan perlawanan manakala Skuad Projek FAM-MSN pula kekal di tangga kesembilan dengan satu mata.