PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turun melawat skuad Harimau Malaya B-22 kendalian E. Elavarasan di Hotel Armada, Petaling Jaya pada Isnin.
Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Haji Rahman, Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid dan penolong pengurus Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.
Dalam lawatan itu, Hamidin sempat memberikan motivasi kepada skuad junior negara yang bakal bertanding Sukan SEA 2023 Kemboja dengan aksi pertama Kumpulan B bertemu Laos di Stadium Prince pada 3 Mei 2023.
“Menjelang aksi Sukan SEA 2023 nanti, saya berharap pemain-pemain dapat bersatu baik di dalam mahupun di luar padang.
“Saya faham Malaysia memiliki santun yang tinggi tetapi dalam masa yang sama saya mahu pemain-pemain tunjukkan apa itu negara Malaysia kepada orang ramai di mana Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang sentiasa berjuang.
“Tidak kira siapa lawan kita nanti, paling mustahak kita fokus dan percaya kepada diri sendiri kerana saya sentiasa percaya kejayaan datang daripada pengorbanan dan disipilin tinggi,” katanya menerusi Facebook FAM.