PERSATUAN Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah menandatangani Perjanjian Kolaborasi (Terma Rujukan) untuk berkongsi matlamat dan tujuan yang sama dalam melindungi imej dan nilai komersial liga.

Objektif perjanjian kolaborasi ini bertujuan untuk mewujudkan sistem perlindungan hak para pemain bola sepak profesional serta menjaga hak kepentingan kelab bola sepak yang bermain di dalam Liga Malaysia.

Kerjasama di antara dua pihak ini juga bertujuan untuk mewujudkan lanskap bola sepak profesional yang sihat dengan menyediakan langkah-langkah dalam membangunkan industri bola sepak profesional tanah air.

 

Dalam masa yang sama, perkara ini selari dengan tuntutan global setelah FIFPRO dan World League Forum (WLF) pada September 2022 telah menandatangani Perjanjian Buruh Global (GLA) di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar sebagai rakan kongsi sosial untuk mengukuhkan penyelesaian yang dipersetujui bersama dalam industri bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Encik Izham Ismail menyatakan bahawa PFAM komited untuk bekerjasama dengan MFL bagi memastikan hak pemain dapat dilindungi di samping mengekalkan integriti dan nilai komersial liga.

“Perjanjian Kolaborasi ini adalah bukti visi dan dedikasi PFAM yang dikongsi untuk membangunkan sektor bola sepak profesional di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Encik Stuart Ramalingam berkata, kerjasama dengan PFAM ini adalah salah satu usaha yang amat penting dalam fokus MFL meningkatkan kualiti liga bola sepak profesional tempatan dalam semua aspek terutama pengurusan kelab dan perkembangan karier pemain.

“MFL amat mengalu-alukan kolaborasi ini kerana kami percaya, kemajuan yang dicapai kelab dan pemain akan memberi refleksi kepada nilai sesebuah liga. Atas sebab itu, MFL telah mengambil langkah besar dan berani sebelum ini dengan melaksanakan proses penswastaan kelab serta melakukan penstrukturan Liga Malaysia.

“Justeru kami melihat langkah proaktif bersama PFAM ini akan mewujudkan proses rangka kerja yang cekap antara PFAM dan MFL melalui proses dan mekanisme yang dipersetujui secara bersama,”katanya.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan pula menyatakan bahawa kolaborasi ini akan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara badan pengelola liga profesional tempatan dan juga PFAM.

“Langkah ini saya percaya adalah selari dengan misi dan visi MFL dalam proses transformasi Liga Malaysia di mana usaha yang dilakukan MFL bukan hanya untuk meningkatkan daya saing serta nilai komersil liga malah bagi memastikan kepentingan kelab dan juga pemain sentiasa dijaga serta disokong oleh ekosistem bola sepak yang kukuh,” katanya.