CUACA panas terik menjadi kebimbangan utama setiap kontinjen bertanding di temasya Sukan Sea Kemboja, namun persediaan rapi sudah dilakukan kontinjen negara.

Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Nasir Ali berkata, pusat perubatan kontinjen negara sudah disiapkan dan mula memberi perkhidmatan kepada atlet negara yang memerlukan.

“Semua aspek termasuk fisiologi, urutan dan psikologi kita sudah bersedia dan kita menganggap berada pada tahap settle down, Cuma menunggu atlet yang memerlukan,” kata Mohd Nasir, ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan cuaca panas terik di Phnom Penh.

Panas terik di Kemboja cukup mencabar ketahanan fizikal atlet, petugas.

Katanya, kontinjen negara sudah menjangkakan situasi panas dan berdebu di Kemboja dan perancangan membantu atlet untuk mengatasi masalah itu sudah dilakukan.

Beliau berkata, setakat ini, ada atlet yang mendapatkan perkhidmatan urutan selepas mengadu sengal-sengal sendi.

Dalam pada itu, pada Majlis Sambutan Pasukan dan upacara menaikkan bendera kontinjen, cuaca panas terik cukup menguji ketahanan, malah dapat dilihat gadis pembawa dulang pada acara terbabit, terpaksa diganti akibat tidak tahan dengan cuaca panas.

Gadis pembawa dulang pada majlis sambutan pasukan di Kompleks Sukan Morodok, tidak mampu bertahan dalam cuaca panas.

Tidak tahan… gadis pembawa dulang pada majlis sambutan pasukan terpaksa berehat di belakang pentas.

Gadis pembawa dulang ini terpaksa dipapah dan direhatkan di belakang pentas, pada majlis sambutan pasukan ke Sukan Sea Kemboja, di Kompleks Sukan Morodok.

Tinjauan Flash Sukan mendapati, gadis tempatan yang bertugas sebagai pembawa dulang tidak dapat bertahan dan ada antaranya hampir rebah.

Menurut laporan media tempatan, Phnom Penh dijangka mengalami cuaca panas pada suhu 41 darjah selsius dan berjerebu sepanjang hari.

Malah pengarah kesihatan Kemboja, Dr Quach Mengly berkata, tahap kepanasan melanda Phnom Penh mungkin akan menyebabkan kepenatan, strok haba, hipertemia dan dehidrasi dan orang awam dinasihatkan untuk tidak berada di bawah terik matahari untuk tempoh yang lama.