JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi akan merubah landskap bola sepak tempatan apabila mahu mewujudkan kejohanan remaja antarabangsa bagi memastikan platform pertandingan kompetitif untuk pelatih-pelatih akademi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alistair Edwards dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial rasmi kelab memberitahu, penyertaan ke kejohanan ini juga akan dibuka kepada pasukan akademi antarabangsa serta tempatan.
Perancangan ini sekaligus akan mewujudkan lebih banyak peluang perlawanan buat pemain-pemain muda negara dan lebih penting pendedahan bermain di kejohanan antarabangsa bermula dari awal.
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) will initiate an international youth competition to provide better competition for JDT Academy trainees.
[1/5] pic.twitter.com/WXIkuPn84O
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 3, 2023
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan kejohanan remaja antarabangsa untuk menyediakan pertandingan yang lebih mantap untuk pelatih-pelatih Akademi JDT.
“Struktur semasa di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Malaysia Football League hanya menyediakan pertandingan untuk pasukan Bawah-19, Bawah-23 hingga ke pasukan senior sahaja. Ianya sangat diperlukan untuk mempunyai pertandingan kompetitif bagi semua pasukan akademi kami kerana kami mempunyai pasukan Bawah 13 hingga Bawah 18 Tahun yang kekurangan perlawanan berkualiti disebabkan ketiadaan pertandingan yang sesuai.
“Pertandingan ini akan dibuka kepada akademi antarabangsa dan dalam negara. Maklumat lanjut tentang pertandingan ini akan diumumkan pada masa terdekat selepas sanksi untuk menjalankan pertandingan ini diberikan oleh pihak yang berwajib,” tulis kenyataan media itu.
Ini adalah inisiatif yang cukup baik dari Harimau Selatan bagi mewujudkan lebih peluang buat pemain-pemain cilik untuk merasai pengalaman bermain dalam perlawanan kompetitif dan menyediakan mereka untuk beraksi lebih matang dan penuh disiplin.
Selain itu, kejohanan ini juga akan menyediakan lebih banyak bakat-bakat baharu bola sepak yang bakal mewarnai bola sepak tempatan sekaligus meningkatkan kualiti liga dan skuad kebangsaan pada masa akan datang.