SKUAD hoki dalam dewan lelaki terus menguasai saingan Sukan SEA Kemboja apabila mencatat kemenangan ketiga ke atas Singapura pada Rabu.

Biarpun tidak berpesta jaringan seperti dua perlawanan terdahulu, keputusan 5-0 itu sudah cukup untuk skuad bimbingan Mohd Hanip Che Halim mengungguli saingan liga round robin.

Penyerang, Faridzul Afiq Mohd berkata, faktor keletihan menjadikan mereka mempamerkan aksi kurang memberangsangkan pada suku pertama perlawanan.

Faridzul puas membantu pasukan memenangi perlawanan.

“Yang penting kami dapat kekalkan kemenangan dan prestasi hari ini mungkin dipengaruhi faktor kepenatan dan cuaca panas, namun selepas berjaya mengatasi masalah di suku pertama, kami beraksi seperti biasa.

“Jumlah jaringan tidak penting kerana kami perlukan kemenangan dan tidak memikirkan soal untuk mengekalkan pingat emas yang dimenangi kerana tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri,” kata Faridzul, yagn menjadi penjaring ketiga perlawanan itu, menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25.

Selain Faridzul, Muhamad Izham Azhar menjaringkan dua gol manakala Danial Asyraf Abdul Ghani, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, masing-masing meledakkan satu gol.

Skuad negara kini mengumpul sembilan mata mendahului saingan dengan jumlah 34 jaringan dan bolos sekali, manakala Indonesia turut memenangi tiga perlawanan kini mengumpul 30 gol tanpa bolos.

“Kita akan berwaspada untuk baki perlawanan kerana kita tahu persiapan Indonesia dan Thailand sangat baik, mereka pergi ke Eropah untuk mengambil pengalaman sedangkan kita menjalani Latihan kurang sebulan untuk persiapan ke Sukan Sea ini,” katanya.

Malaysia akan melengkapkan saingan round robin menentang Thailand esok (Khamis) manakala menentang Indonesia pada Sabtu.