SKUAD bola sepak wanita negara kalah 0-3 kepada Vietnam dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Sukan SEA 2023 di Stadium Army, Phnom Penh, Kemboja, pada Rabu.

Penyerang, Hai Yen Pham memberi skuad permulaan yang sempurna buat Golden Star Women Warriors selepas menjaringkan gol seawal minit keempat, apabila percubaan luar kotak penalti terkena tiang sebelum menerjah jaring.

Thi Bich Thuy Nguyen menggandakan jaringan untuk juara bertahan selesa berkedudukan 2-0 pada minit ke-23. Belum sempat anak buah Soleen Al-Zou’bi mengatur semula rentak, Vietnam terus menggegar jaring.

Nhu Huynh menyumbat gol di minit ke-34 menewaskan penjaga gawang, Ezza Ashikin yang tertewas buat kali ketiga pada babak pertama.

 

Penguasaan Vietnam tidak dapat lagi dibendung yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Malayan Tigress sebaik bersambung babak berikutnya.

Beberapa pertukaran dilakukan Soleen termasuk Intan Sarah untuk sekurang-kurangnya mencabar gawang lawan namun ianya mudah dipatahkan pertahanan Vietnam.

Pujian sebenarnya harus dikreditkan buat pemain negara kerana berjaya mengelakkan dibolosi dengan jumlah gol yang lebih besar.

Malaysia akan berdepan Filipina manakala Vietnam akan menentang Myanmar dalam perlawanan kumpulan kedua pada Sabtu.