MALAYSIA B-22 memulakan saingan Kumpulan B Sukan SEA 2023 dengan langkah kanan apabila membelasah Laos B-22, 5-1 pada aksi di Stadium Prince, Phnom Penh sebentar tadi.

Beraksi atas padang yang kurang memuaskan, ia bukan halangan pemain negara mengasak awal ke kubu lawan sebaik tiupan wisel pertama.

Tidak menunggu lama, Ubaidullah Shamsul meletakkan Malaysia di depan untuk gol pendahuluan pada minit keempat.

Percaturan taktikal meletakkan Haqimi Azim dan Aliff Izwan di bahagian hadapan dilihat serasi apabila banyak serangan ditujukan ke arah gawang lawan.

Namun begitu, Laos tiba-tiba menyamakan kedudukan apabila Ubaidullah terjaring gol sendiri m-21. Bagaikan tersentak, Malaysia B-22 memperkemaskan semula posisi untuk memburu gol.

Hasilnya, giliran lawan pula memberikan ‘hadiah’ kepada anak buah E Elavarasan apabila pemain tengah, Anantaza Siphongphan terjaring gol sendiri m-28.

 

Pada permulaan separuh masa kedua, Laos mengambil inisiatif untuk menyerang, tetapi kubu pertahanan Malaysia berjaya mematahkan sebarang serangan pasukan lawan.

Laos nyaris mendapat gol penyamaan namun jaringan m-49 pemain mereka dikesan offside dan mereka sekali lagi cuba untuk menyamakan kedudukan, namun pemain Malaysia tampil berdisiplin.

Pemain gantian, Syahir Bashah menambah gol ketiga negara dengan menolak masuk bola m-75 manakala Najmudin Akmal turut tidak ketinggalan merakam selaku penjaring gol masa masa kecederaan.

Sekali lagi Laos memberikan gol ‘saguhati’, kali ini melalui Phoutthavon Sangvilay sebelum tiupan wisel penamat.

Malaysia akan berdepan Thailand pada Sabtu diikuti bertemu penyandang juara, Vietnam dua hari kemudian yang dianggap misi getir dalam meniti laluan ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi ibu segala pingat emas adalah pada edisi 2011 di Indonesia.