SKUAD ping pong negara meletakkan sasaran dua pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki dan wanita serta cuba melakar kejutan pada temasya Sukan SEA 2021 yang bakal membuka tirai Mei ini.

Jurulatih Ping Pong negara Kang Fong Ling berkata, kekurangan pertandingan di peringkat antarabangsa dalam dua tahun terakhir ini ekoran penularan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan perancangan pasukan.

“Setakat ini pasukan hanya berlatih di dalam negara sahaja tetapi semua negara juga terjejas dengan pandemik yang melanda dunia ini dan saya berharap kami mampu melakarkan kejutan dalam Sukan Sea kali ini.

“Kita menyasarkan dua pingat gangsa dalam acara berpasukan selepas acara ini tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Manila pada 2019 lalu. Singapura dan Thailand masih menjadi pilihan tetapi kita juga mampu membuat kejutan,” ujarnya pada sidang media pasukan Sukan SEA pada Selasa.

Sementara itu atlet Ping Pong lelaki, Leong Chee Feng yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas Sukan SEA ini mengakui persiapan sedikit terganggu akibat kekurangan pertandingan.

“Saya menyasarkan satu pingat dan tidak kisah warna apa pun kerana apa jua pingat ianya akan menjadi pencapaian terbaik saya,” ujarnya.

Manakala atlet wanita, Alice Chang Li Sian berharap dia dan rakan sepasukan dapat mengekalkan pingat yang dimenangi pada temasya terdahulu dan mencipta kejutan dalam acara individu.

“Harapan saya dan rakan sepasukan agar kami dapat mengekalkan pingat acara berpasukan dan juga berharap agar kami dapat meraih pingat individu. Kami tahu ianya bukan mudah tetapi kami akan cuba,” ujarnya.

Skuad ping pong kali ini menyenaraikan atlet berpengalaman bersama tiga pemain baharu yang akan bersaing pada 13 hingga 15 Mei di Hai Duong Sporting Hall, Hanoi.