KEUPAYAAN skuad Harimau Malaya pimpinan Kim Pan-gon di pentas Piala Asia Qatar 2023 akan diuji sebaik sahaja majlis undian selesai dijalankan di Doha, Qatar pada 11 Mei ini.

Ini kerana, lawan yang bakal ditemui nanti berkemungkinan pasukan yang bertanding di level Piala Dunia dan antara pasukan terbaik di benua Asia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu pihaknya tidak kisah sesiapa pesaing selepas undian memandangkan jurulatih pasukan menyiapkan persiapan rapi sejak layak secara merit pada tahun lepas.

“Balang satu semua level piala dunia, kedua, ketiga dan balang terakhir. Semua 24 pasukan adalah terbaik dan kita berada balang keempat..mungkin jumpa Uzbekistan atau Jepun.

“Jadi kita perlu buat persiapan betul-betul untuk bermain dengan pasukan-pasukan ini.

“Saya percaya Pan-gon dan barisan teknikal hanya boleh merancang dengan lebih dekat selepas undian dilangsungkan nanti,” katanya.

Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ditemui ketika majlis makan malam bersama delegasi media Malaysia ke temasya Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Khamis.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

Malaysia juga telah beraksi di pentas Piala Asia sebanyak tiga kali dalam sejarah penganjuran.