INDONESIA bertegas mahu merampas pingat emas hoki dalam dewan lelaki dari skuad negara, sekaligus menghalang impian Malaysia mempertahan kejuaraan yang dimenangi pada dua edisi Sukan SEA lalu.

Ketua jurulatih hoki dalam dewan Indonesia, Muhammad Dharmaraj Abdullah berkata, status pilihan tetap milik Malaysia namun selepas melakukan persiapan terbaik, dia yakin pasukannya mampu mengatasi Speedy Tiger.

“Berdasarkan jumlah masa yang saya habiskan di Indonesia untuk membentukn pasukan dalam dewan, mereka (pemain Indonesia) sudah mencapai tahap untuk menewaskan Malaysia.

“Saya menghormati pasukan Malaysia yang memiliki lebih ramai pemain, berkualiti dan cukup pendedahan berbanding Indonesia,” kata Dharmaraj, menjelang pertemuan final antara kedua-dua pasukan pada Ahad.

Indonesia dan Malaysia sudah mengesahkan tempat ke final selepas masing-masing mengumpul 12 mata selepas empat perlawanan.

Namun, sebelum aksi final, kedua-dua pasukan perlu mengharungi perlawanan terakhir bagi melengkapkan saingan liga sepusingan, Sabtu ini.

“Sekarang perlawanan terakhir liga antara Indonesia dan Malaysia tidak penting lagi, apapun keputusan perlawanan itu tidak membawa makna kerana dua-dua sudah layak ke final.

“Perhitungan saya.. saya tidak akan menurunkan pemain terbaik pada aksi terakhir liga, tidak penting kerana saya tidak mahu pemain mengalami kecederaan,” katanya.

Skuad hoki dalam dewan lelaki Indonesia mencapai kemenangan 6-1 ke atas Kemboja, Singapura (7-0), Filipina 20-0), Thailand (3-0), dalam pusingan awal liga sepusingan.

Namun ditanya sama ada dia mempunyai misi tertentu, termasuk membuktikan kemampuan dirinya membentuk pasukan yang baik, Dharmaraj berkata: “Sama ada menentang Malaysia atau Thailand sekalipun, tiada kaitan dengan niat membalas dendam atau perasaan lain, just keep profesionlisme and try to get gold medal.”

Indonesia melakukan persiapan rapi sejak tahun lalu bagi memburu emas di Sukan Sea Kemboja.

Pada awal tahun ini, skuad bimbingan Dharmaraj itu mengejutkan pasukan nombor satu dunia Austria dan nombor empat dunia Belgium pada saingan Rohrmax Cup di Vienna.

Mereka mengatasi Austria 3-2 sebelum mengalahkan Belgium 4-3.

Kini Indonesia menduduki ranking ke-33 dunia manakala skuad dalam dewan negara di ranking ke-15 dunia.