BIARPUN tewas pada aksi pembukaan acara bola sepak wanita Kumpulan A kepada Vietnam, skuad Malayan Tigress masih berpeluang mencipta kejutan apabila bertemu Filipina dalam perlawanan kedua di Stadium Army Phnom Penh pada Sabtu.
Skuad kendalian Soleen Al-Zoubi menunjukkan persembahan yang mantap walaupun masih bergelut dengan prestasi masing-masing untuk mengurangkan defisit kekalahan kepada 3-0 keatas lawan yang bakal bersaing di Piala Dunia FIFA Wanita di Australia dan New Zealand Julai nanti.
Kini barisan yang diketuai Steffi Sidhu itu bakal berhadapan dengan satu lagi pasukan Asean yang bertanding di Piala Dunia, Filipina tetapi kali ini dengan skrip yang agak berbeza kerana kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan pertama dalam temasya ini.
Filipina sebagai salah satu pasukan pilihan, tewas mengejut 1-0 kepada Myanmar pada aksi pembukaan dan kini memerlukan tiga mata penting bagi memastikan mereka kekal dalam persaingan merebut pingat emas dan mengelakkan dari tersingkir awal.
Barisan kendalian Alan Stajcic yang kini di ranking ke-49 dunia itu sudah pasti akan menggunakan aksi bertemu Malaysia untuk mencari tiga mata penuh untuk mengekori rapat juara tujuh kali pingat emas bola sepak wanita, Vietnam.
“Kami perlu melupakan seketika tentang kemenangan pingat emas yang pertama atau penghabisan di podium, apa yang penting sekarang adalah layak ke pusingan berikutnya serta pentingnya untuk fokus kepada pemain yang berada di Kemboja dan bukannya yang tidak ada bersama pasukan ketika ini.
“Sejujurnya, kami mempunyai kualiti yang baik untuk menyempurnakan tugasan di Kemboja ini dan tunjukkan kepada Asia Tenggara kemampuan pasukan yang bakal ke Piala Dunia ini,” kata Stajcic menjelang perlawanan menentang Malaysia.
Meskipun tanpa beberapa bintang utama yang mengalami kecederaan, Filipina masih lagi menjadi pasukan pilihan dan skuad Malayan Tigress perlu mengekalkan disiplin yang tinggi seperti yang dilakukan pada perlawanan pertama.
Tidak ada yang mustahil dalam bola sepak dan pemain negara hanya perlu beraksi tanpa tekanan dan berikan persembahan terbaik untuk mengekang asakan Filipina dan cuba untuk melakar kejutan sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam perlawanan pada Sabtu.