SKUAD Harimau Malaya B-22 berdepan misi getir merintis laluan ke separuh akhir apabila tumbang 2-0 kepada Thailand dalam aksi kedua Kumpulan B, Sukan SEA 2023 sebentar tadi.

Skuad bimbingan E Elavarasan seolah-olah tercari-cari rentak khusus pada babak pertama berikutan bermain dalam cuaca panas membahang suhu mencecah 39 darjah Celsius dan permukaan padang yang tidak rata di Stadium Prince, Phnom Penh.

Tidak banyak percubaan berbahaya dapat disaksikan pemain negara daripada gandingan Azrin Afiq, Fergus Tierney dan Syahir Bashah, untuk mengancam pintu Thailand, sebaliknya pasukan lawan lebih cenderung menyerang berbanding Malaysia yang hanya sesekali menyerang.

Ketumpulan jentera serangan Changsuek menyelamatkan benteng terakhir negara yang dikemudi oleh Sikh Izhan Nazrel dengan beberapa aksi penyelamatan sebelum menuju bilik persalinan.

 

Kemasukan Najmudin Akmal dan Haqimi Azim serta Mukhairi Ajmal diharapkan dapat memecahkan kebuntuan jaringan tidak berjaya apabila pergerakan bola berjaya di sekat dan di pintas pemain lawan.

Faktor kepenatan dan kesilapan individu menjadi pemisah apabila Thailand mendapat dua gol menerusi jaringan dua pemain gantian, Anan Yodsangwal 73′ dan Yotsakorn Burapha 84′ sekali gus menghadiahkan kekalahan sulung negara kempen kali ini.

Kemenangan ini menjadikan Thailand berjaya mendaki tangga teratas Kumpulan B berkongsi kedudukan dengan Vietnam yang mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.

Manakala, skuad negara jatuh ke tangga ketiga kedudukan dengan kutipan tiga mata daripada dua permainan.

Malaysia akan mengharungi satu lagi cabaran sukar berdepan juara bertahan, Vietnam untuk aksi ketiga kumpulan pada Isnin sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan, 11 Mei ini.