MALAYSIA gagal mempertahankan pingat emas hoki dalam dewan lelaki Sukan SEA 2023 apabila tunduk 1-2 menerusi penentuan penalti ‘shoot-out’ di tangan Indonesia pada aksi final yang penuh rancak dan mendebarkan berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar sebentar tadi.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi situasi tersebut selepas aksi 60 minit permainan berakhir dengan kedudukan 3-3.

Barisan pemain Malaysia yang diketuai Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah jelas mempamerkan disiplin tinggi ketika menyerap tekanan hebat diberikan oleh Indonesia.

Selesa mendahului sehingga suku ketiga dengan tiga gol menerusi jaringan padang Danial Asyraf Abdul Ghani m-16 diikuti pukulan sudut penalti Muhammad Firdaus Omar 21′ dan Faridzul Afiq Mohd, kealpaan pemain Speedy Tigers mula dihukum pada suku terakhir.

Sepatutnya, kem negara berkedudukan emas namun kebangkitan lawan pada beberapa saat terakhir yang dibimbing anak tempatan, Muhammad Dharma Raj Abdullah memastikan Indonesia muncul juara di Kemboja.

 

Ketua jurulatih Mohd Hanip Che Halim mengakui kecewa gagal menyumbang sasaran seperti ditetapkan Majlis Sukan Negara iaitu membawa pulang pingat emas.

“Semestinya kecewa. Tapi kami akan bangkit semula di kejohanan lain selepas ini. Kami dah bagi yang terbaik untuk negara.

“Pemain pun tunjukkan keberanian dan semangat sepanjang permainan tadi. Tapi, tiada rezeki kita kali ini,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui FLASH SUKAN di Kemboja.

ARTIKEL BERKAITAN : Hoki dalam dewan lelaki sah ke final

Sebagai rekod, skuad hoki dalam dewan lelaki negara meraih pingat emas pada edisi 2019 di Filipina selepas menumpaskan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir.

Pada edisi ke-31 di Hanoi, Vietnam tahun lepas, acara berkenaan tidak dipertandingkan.

Sementara itu, nasib serupa dialami pasukan wanita yang juga gagal mempertahankan emas dimenangi di Filipina 2019 selepas dikecewakan Thailand, tewas menerusi penentuan pukulan penalti shoot-out.