JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memberi bayangan siapakah yang bakal menjadi jurulatih baharunya selepas hampir enam bulan tanpa jurulatih sebagai antara persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Dia yang ditemui ketika aksi Piala Presiden 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara tidak mahu memberikan komen lanjut mengenai siapakah individu yang bakal menjadi jurulatihnya dan hanya akan membuat kenyataan selepas semuanya dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Zii Jia, salah seorang atlet yang diletakkan dalam Program Road To Gold buat masa ini mahu menumpukan perhatiannya kepada kejohanan Piala Sudirman yang bakal berlangsung di China dari 14 hingga 21 Mei 2023.
📸 https://t.co/Dayp6xRDXt pic.twitter.com/OdSrEPqps8
— BAM (@BA_Malaysia) May 7, 2023
“Sudah mula cari jurulatih dan ada beberapa calon yang akan dipilih. Saya tidak mahu komen dan akan buat pengumuman apabila semuanya dimuktamadkan. Saya hanya boleh katakan yang dia pernah menjadi jurulatih pemain yang pernah muncul juara,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan perseorangan lelaki Piala Presiden itu, Zii Jia menewaskan rakan sepasukan Ng Tze Yong 21-8, 18-21 dan 21-12 dihadapan ribuan penyokong sukan badminton yang sudah menunggu sejak pagi untuk menyaksikan kedua-dua pemain ini berentap.
“Ianya adalah persiapan biasa sebelum ke China dan saya gembira dapat bermain di hadapan ribuan penyokong Malaysia,” tambahnya yang kelihatan tenang melayan kerenah para peminatnya.
Ditanya mengenai peluangnya di Piala Sudirman, pemain nombor satu negara itu berkata segalanya bergantung pada keadaan pemain pada hari perlawanan dan apa yang dia boleh buat adalah persiapkan diri untuk berada dalam keadaan terbaik.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama India, Chinese Taipei dan Australia untuk merebut dua tempat teratas ke pusingan kalah mati dengan rekod layak ke separuh akhir ketika edisi 2021 sebelum tewas kepada Jepun 3-1.