KETUA jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi tetap bangga dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas pada minit terakhir perlawanan ketika menentang Filipina dalam aksi kumpulan A Sukan SEA 2023.

Dia menganggap bahawa keputusan perlawanan itu adalah tidak penting tetapi persembahan yang ditunjukkan oleh pemain membuatkannya bangga walaupun terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 kepada wakil Asia di Piala Dunia Fifa Wanita 2023 itu.

“Ia adalah perlawanan yang sukar dari segi mental dan fizikal tetapi saya amat berbangga dengan para pemain, mereka lakukan tugas yang baik sebagai satu pasukan.

“Kami ada sebuah pasukan dan pemain-pemain yang mempunyai masa depan, bagi saya keputusan pada hari ini tidak penting, apa yang penting adalah persembahan mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Army, Phnom Penh itu, Malaysian Tigress mempamerkan aksi yang baik dan bertahan dengan berdisiplin hingga hampir menidakkan kemenangan Filipina namun tuah masih belum memihak Malaysia untuk mencatat sekurang-kurangnya satu mata.

Sementara itu, Soleen masih yakin Malaysia mampu melakar kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar sekiranya mereka mengekalkan corak permainan seperti ini.

Dia juga mengakui bahawa tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan untuk perlawanan terakhir kumpulan itu hanya para pemain harus memperbaiki kesilapan individu yang sering dilakukan.

“Melihat kepada gaya permainan Myanmar, mungkin kami akan lakukan perubahan taktikal saja, tidak banyak yang kami perlu perbaiki kecuali kesilapan individu. Mungkin kalah pada hari ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk menang pada perlawanan terakhir nanti, jika para pemain bermain dengan tersusun seperti ini kita boleh menang.” tambahnya.

Selepas berakhir dua perlawanan, Malaysia di tangga terbawah Kumpulan A dan secara automatik telah tersingkir dari temasya dan kini akan cuba mendapatkan keputusan positif apabila menentang Myanmar pada Selasa.