KEMERIAHAN di temasya Sukan Sea Kemboja semalam yang bermula buat negara dengan tiga pingat emas di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, bertukar suram buat kontinjen negara, apabila tiga lagi pingat emas yang menjadi sandaran, terlepas dari genggaman.

Bermula di AZ Group Cricket Oval, skuad kriket lelaki yang menyasarkan tiga pingat emas kehilangan emas pertama, apabila pasukan 50-overs lelaki tewas kepada Kemboja, dengan 89 larian.

Suasana suram kemudian berpindah ke Dinasour Park Hall, apabila pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara kecundang di final.

Bermula dengan aksi kriket, skuad negara bagai hilang taring ketika berdepan pasukan tuan rumah yang membariskan beberapa pemain import dari India dan Pakistan.

Tuan rumah yang memenangi undian lambungan syiling (toss coin) memilih untuk memukul dan berjaya melakukan 3334 larian dengan 50 overs pada inning pertama.

Pada inning kedua, kapten pasukan negara, Ahmad Faiz Mohamad Noor Berjaya melakukan 78 larian tetapi tidak mampu membantu pasukan untuk mengejar Kemboja, apabila pasukan menamatkan permainan dengan 245 larian dengan 40.1 over.

“Satu kekalahan yang agak buruk dan sangat mendukacitakan, boleh dikatakan prestasi kita Ketika membaling.. teruk sehingga melepaskan 334 larian kepada Kemboja, dan kita tahu mereka mempamer prestasi baik di final,” kata Ahmad Faiz.

Sementara itu, hoki yang disandarkan empat pingat emas, masing-masing dua buat hoki dalam dewan dan dua buat hoki padang, sudah tersasar separuh dari yang ditetapkan.

Kealpaan pada tiga minit terakhir perlawanan membuatkan skuad lelaki dibimbing Mohd Hanip Che Halim menggigit jari ketika berdepan Indonesia dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Muhammad Dharmaraj Abdullah.

Ketika perlawanan seakan milik Malaysia yang mendahului 3-1, Indonesia sebaliknya meranapkan impian emas negara, apabila melakukan tiga jaringan dalam tempoh tiga minit terakhir perlawanan, memaksa pemenang ditentukan menerusi pukulan penalti shoot-out.

Pada penentuan itu, hanya Abdul Khaliq Hamirin Berjaya melakukan jaringan buat pasukan negara, manakala Indonesia memperoleh dua jaringan dan diisytihar pemenang pingat emas.

Skuad wanita yang turun beraksi menentang Thailand selepas itu, menggalas tanggungjawab besar.

Biarpun diasak Thailand bertubi-tubi, mereka berjaya bertahan dan masa sebenar perlawanan berkesudahan 0-0 namun suasana sedih menyelubungi pasukan selepas skuad wanita menerima nasib sama seperi lelaki, tewas 1-2 menerusi penentuan penalti shoot-out.

Suasana hiba tidak dapat dielakkan apabila penjaga gol dan beberapa pemain wanita, menangis kekecewaan terutamanya selepas jaringan terakhir pemain negara ketika penalti shoot-out dibatalkan dan kemenangan diberi kepada Thailand.

Bukan hanya pemain, pegawai pasukan malah ketua kontinjen (CDM) Datuk Mohd Nasir Ali sendiri kelihatan sugul, melihat kontinjen negara kehilangan dua pingat emas berharga di gelanggang hoki.