SKUAD Bawah 22 Tahun kebangsaan perlu membuang perasaan hormat kepada Vietnam jika ingin mencapai kejayaan pada perlawanan penentuan hidup mati Kumpulan B Acara Bola Sepak Lelaki Sukan Sea Kemboja 2023.

Ini pendapat yang disuarakan penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin yang mahu para pemain faham bahawa pentas Sukan Sea bukanlah medan pendedahan sebaliknya adalah tempat untuk menunjukkan hasil berdasarkan sasaran ditetapkan.

“Pemain perlu buang perasaan hormat jika mahu kalahkan Vietnam. Kita tidak boleh lakukan selagi perasan hormat ni masih ada kerana sikap ini akan buatkan kita kalah sebelum perlawanan bermula lagi.

“Sukan SEA bukanlah satu medan pendedahan pemain-pemain sebaliknya mereka yang dibawa ke Kemboja wajib beraksi dengan baik dan baru kita boleh capai apa yang kita sasarkan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Namun, Sulaiman masih yakin dengan taktikal dan pengalaman yang ada pada Ketua Jurulatih, E. Elavarasan untuk mengubah nasib Malaysia sekaligus membuka semula peluang ke separuh akhir.

“Semoga ada taktikal terbaik dari Elavarasan. Dia adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dan pastinya pengalaman yg ada pada dirinya mampu mengubah nasib kita dan layak ke separuh akhir,” tambahnya.

Sulaiman Hussin

Malaysia menempah laluan sukar untuk ke separuh akhir selepas tewas 0-2 ditangan Thailand pada Sabtu dan kini hanya kemenangan ke atas Vietnam pada Isnin sahaja mampu menghidupkan semula peluang ke separuh akhir.

Sebarang keputusan negatif bakal menyaksikan skuad B22 tahun ini akan pulang awal dan meneruskan kemarau pingat emas Sukan Sea yang kali terakhir dimenangi pada 2011 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.