FAKTOR persiapan menjadi pemisah kegagalan skuad hoki dalam dewan wanita untuk mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 2023.

Semalam, pasukan bimbingan Mohd Badrul Hisham Osman gigit jari apabila tewas menerusi penentuan penalti shoot-out kepada Thailand di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar.

“Persiapan kita hanya tiga minggu sebelum kejohanan berbanding dengan pasukan yang lain. Mereka melakukan persiapan pasukan dah hampir dua tahun.

“Jadi, dekat situ kita boleh tengok macam mana dengan tiga minggu menyiapkan skuad dan 27 sesi kita boleh sampai ke tahap ini.

“Sekiranya kita diberi lebih awal Insya Allah kita boleh cipta sesuatu untuk negara,” kata Mohd Badrul Hisham ketika ditemui media Malaysia selepas upacara penyampaian pingat.

Malaysia tewas 1-2 kepada Thailand menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa sebenar.

Kegagalan Iren Hussin dan Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun menyempurnakan penalti menyaksikan skuad negara gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Filipina pada 2019.

Pada edisi tersebut, Malaysia merangkul pingat emas dengan menjinakkan Thailand 2-0 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat satu sama.