ATLET baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei terus unggul di persada Asia Tenggara apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara baling tukul besi yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh.

Lebih manis lagi Grace yang meraih emas ketiga di temasya Sukan Sea turut cemerlang memecah rekod kejohanan menerusi balingan sejauh 61.87 meter (m) mengatasi rekod lama 59.24m yang dilakukannya di Kuala Lumpur 2017.

Lebih menggembirakan skuad olahraga negara pagi ini, seorang lagi wakil negara Nurul Hidayah Lukman turut meraih gangsa, dengan balingan 49.61m, manakala atlet Thailand Mingkamon Koomphon (57.62m).

Meskipun beraksi pada sesi pagi, panas panas terik mencecah hampir 40 darjah Celsius tidak mengganggu Grace yang menganggap satu kelebihan kerana gemar beraksi di bawah cuaca panas.

“Boleh dikatakan cuaca panas memberi kelebihan saya untuk mencipta kejayaan yang cukup bermakna selepas menjalani latihan intensif di Chengdu, China selama lebih dua bulan.

“Pada masa sama, saya turut berpuas hati dengan prestasi semasa dan hari ini mampu menghadiahkan emas pertama untuk kem olahraga negara,” katanya.

Mengikut rekod, Grace sebelum ini memenangi pingat emas pada penampilannya di Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur sebelum mengulangi pencapaian cemerlang itu di Hanoi tahun lalu.

Grace memegang rekod kebangsaan menerusi catatan 62.48m yang dilakukan pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia dua tahun lalu.