SELEPAS mendapat persetujuan antara Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan pengelola liga, PT Liga Indonesia Baru (LIB) satu perancangan telah dibuat untuk menggunakan sistem bantuan pengadil (VAR) dalam Liga 1 Indonesia.
Sistem VAR ini akan mula digunakan pada pertengahan musim Liga 1 Indonesia 2023/2024 dan perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden PSSI, Erick Thohir.
“Kami berharap sistem VAR ini dapat digunakan pada pertengahan musim 2023/2024 dan ini adalah langkah awal untuk mengatasi kontroversi yang sering melibatkan pengadil dalam perlawanan bola sepak di Indonesia.
“Ini adalah perjanjian dengan PT Liga yang saya mahu menggunakan sistem VAR tetapi ianya mustahil untuk mempunyainya pada awal musim dan kami bersetuju untuk memulakannya pada pertengahan musim,” katanya.
Dalam masa yang sama, Erick juga mengakui perlaksanaan sistem VAR ini memerlukan masa kerana ianya melibatkan latihan buat pengadil dan adaptasi kepada peralatan semasa perlawanan berlangsung.
Liga 1 Indonesia menukar kalendar pertandingan dengan mengikut kalendar antarabangsa Fifa bagi memudahkan penyusunan jadual supaya tidak menggangu latihan dan jadual skuad kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa.
Jika perkara ini berlaku, Indonesia bakal menjadi liga Asia Tenggara keempat menggunakan sistem VAR selepas Liga Thailand, Liga Premier Singapura dan Liga Super Malaysia.