TAKUT dianggap menjadi punca kekalahan pasukan, Siti Nurshuhaini Azman tidak dapat menahan perasaan lalu menangis, sebaik melihat wartawan yang menanti di luar Dewan Badminton Stadium Nasional Techo Morodok.

Sebaik meletakkan kelengkapan sukannya, Siti Nurshuhaini hanya mampu duduk mencangkung dan menunduk, menangis sehingga terpaksa ditenangkan wartawan, yang berada di mix zone.

Selepas hampir tiga minit ditenangkan, baharulah pemain berusia 19 tahun itu mampu mengangkat mukanya.

Siti Nurshuhaini menangis selepas gagal menyumbangkan mata buat pasukan wanita dan terpaksa ditenangkan wartawan dari Malaysia. Skuad wanita tewas 0-3 kepada Filipina pada pusingan pertama acara berpasukan wanita di Sukan sea Kemboja 2023.

“Saya kecewa kerana tahun ini masih gagal sumbang mata. Tahun lepas (Sukan SEA Hanoi) saya diturunkan sebagai pemain pertama, gugup kerana kali pertama di Sukan SEA.

“Tahun ini pula, saya turun sebagai pemain ketiga, tetapi pemain yang menjadi penentu selepas pasukan ketinggalan 2-0.

“Susah saya nak lupakan kekalahan ini, sangat tertekan, tapi saya kena move on,” kata Siti Nurshuhaini.

Mengakui Filipina bukanlah sebuah pasukan yang mantap, namun “kerana tekanan, banyak melakukan kesilapan sendiri, tangan saya menjadi keras dan kaku.”

Begitupun, Siti Nurshuhaini perlu segera melupakan episod duka itu kerana dia perlu beraksi untuk acara individu pula selepas ini.

Kekalahan 3-0 skuad badminton berpasukan wanita kepada Filipina, itu bagai memberi bayangan kesuraman kontinjen negara belum berakhir selepas kehilangan emas dari skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita, serta kriket 50-overs semalam.

Skuad badminton negara baharu tiga hari berada di bumi Phnom Penh, namun sudah mempamer ;angkah tempang.

Usaha mendapatkan komen pegawai pasukan tidak berhasil.

Terdahulu, ketiadaan Wong Ling Ching dalam senarai pemain akibat demam, nampaknya menyukarkan situasi apabila Tan Zhing Yi yang pertama turun ke gelanggang, tewas kepada Mikaela Joy Miranda De Guzman, 22-24, 18-21.

Ketinggalan satu mata, gandingan Low Yeen Yuan-Valeree Siow menjadi harapan untuk kebangkitan skuad Wanita, namun sayangnya gandingan itu gagal menghasilkan mata selepas mengerah usaha.

Yeen Yuan-Valeree tewas 20-22, 21-19, 22-24, meletakkan pasukan itu dalam situasi genting.

Bergantung harapan kepada Siti Nurshuhaini yang baru pulih dari kecederaan, bagai meletak beban sebesar gunung di pundak pemain kelahiran Rawang, Selangor itu.

Berdepan Maria Bianca Ysabel, segala-galanya bagai tidak menjadi buat Siti Nurshuhaini tunduk 16-21, 18-21, sekali gus terpaksa akur pasukan wanita yang diletak selaku pilihan ketiga itu pulang awal.