LEONG Jun Hao gembira dengan prestasi hari pertama turun ke gelanggang dalam perlawanan suku akhir badminton berpasukan lelaki Malaysia-Vietnam, sambil mengharapkan cepat mengawal gelanggang, pada aksi menentang Thailand di separuh akhir pada Rabu.

Skuad lelaki turun dengan misi menebus kekalahan memalukan pasukan wanita semalam, tiada masalah memenangi perlawanan ke atas Vietnam 3-0 pada aksi di Dewan Badminton Techo Morodok.

“Puas hati kerana mengawal angin dan gelanggang dia kedua-dua belah dengan baik. Tidak mudah kerana bulu tangkis agak laju dan dewan berangin.

“Bagaimanapun keadaan di gelanggang, kedua-dua pemain saya dan lawan akan berdepan situasi sama, siapa cepat suaikan diri akan mendapat rentak,” kata Jun Hao, selepas menang ke atas Nguyen Hai Dang 21-14, 21-16.

Selepas itu, gandingan Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe turun beraksi, menambah mata menjadikan kedudukan 2-0, selepas menang ke atas Nguyen Dinh Goang-Tran Dinh Manh 21-19, 21-14.

“Kali ini main agak gementar.. kali pertama main di Sukan Sea, jadi agak lambat untuk mengawal dengan baik,” kata Boon Zhe.

Harapan untuk melihat kemenangan 3-0 tidak kesampaian apabila perseorangan kedua, Lee Shun Yang tewas 13-21, 21-16, 7-21.

Chia Weijie-Liew Xun yang turun selepas itu, mengesahkan kemenangan pasukan lelaki apabila menewaskan gandingan Nguyen Xuan Hung-Pham Van Hai 21-14, 21-18.