PEMAIN beregu campuran negara, Tan Kian Meng dilantik sebagai kapten pasukan Malaysia ke kejohanan Piala Sudirman yang bakal membuka tirainya di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei 2023.

Kian Meng yang pertama kali dilantik sebagai kapten menganggap tugas yang digalas bukan mudah kerana dia akan menjadi jambatan antara pemain profesional, pemain dari Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan barisan kejurulatihan.

“Terima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana percaya dengan saya untuk menjadi kapten pasukan di Piala Sudirman. Bagaimanapun lantikan ini datang dengan tanggungjawab yang besar.

“Antara tanggungjawab saya adalah menjadi penghubung antara pemain dan jurulatih. Sebagai pemain senior saya harap saya mampu untuk membantu pasukan di Piala Sudirman,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan skuad ke China.

Dalam perkembangan yang sama, Kian Meng turut memberitahu pasukan berada dalam keadaan yang terbaik dengan semua yang dirancang oleh barisan kejurulatihan berjalan lancar dengan para pemain berada pada tahap motivasi yang tinggi.

Semua pemain yang terlibat juga memberi fokus untuk menaikkan prestasi sambil cuba untuk mengelakkan diri daripada mengalami kecederaan serius menjelang kejohanan ini.

Barisan Malaysia ke Piala Sudirman 2023

“Semua pemain berada dalam motivasi terbaik. Semua yang masuk dalam ini merupakan pemain Malaysia dan bukan kebangsaan atau profesional. Baru-baru ini kita ada menyertai kem bina semangat yang banyak banyak membantu dari motivasi pemain. Saya percaya kami semua akan beri aksi yang terbaik di kejohanan berkenaan,” tambahnya.

Malaysia bakal membuka tirai saingan Piala Sudirman 2023 pada 14 Mei menentang Australia sebelum berhadapan India pada 15 Mei sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Chinese Taipei pada 16 Mei.