JIKA tahun lepas penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh tidak dapat meraikan sambutan hari lahir anaknya yang ketika itu berusia dua tahun, kejayaan di Kemboja kali ini lebih manis.

Situasi yang sama, meraih pingat emas di Sukan SEA tetapi Syafiq bakal pulang menyambut hari lahir Nuraisya Zulaikha bersama pingat emas dikelilingi keluarga tercinta.

Di temasya Sukan SEA 2023, anak kelahiran Perak itu mempertahankan kejuaraan acara 3 meter (m) papan anjal lelaki di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo, di sini.

“Hari kelahiran anak perempuan saya Nuraisya Zulaikha pada 12 Mei, jadi ini hadiah kemenangan buat beliau selain saya anggap sebagai rezeki untuk anak kedua yang bakal lahir November ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Skuad terjun dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat, sehari selepas acara terjun melabuhkan tirai pada temasya kali ini.

Selain Syafiq, rakan sepasukan Gabriel Gilbert Daim juga menceriakan kem negara apabila menduduki tempat kedua selepas melakukan enam terjunan.