AKADEMI Badminton Malaysia (ABM) menerima peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michelle Chai dan melepaskan Pengarah Prestasi Tingginya, Dr Timothy John Jones daripada tugasnya serta merta susulan kegagalan skuad badminton negara kebelakangan ini.
Perkara ini disahkan menerusi kenyataan media yang disiarkan menerusi laman sosial rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada petang Selasa selepas Michelle sendiri mengakui bertanggungjawab atas kegagalan skuad badminton negara.
Ini selepas skuad berpasukan wanita kebangsaan tewas mengejut kepada Filipina 3-0 pada aksi berpasukan acara badminton di Sukan Sea Kemboja pada Isnin yang mengundang kemarahan peminat badminton dan mendesak mereka yang terlibat untuk bertanggungjawab.
📄 Review & Accountability of Performance#BadmintonMalaysia pic.twitter.com/RhvZnFOcmI
— BAM (@BA_Malaysia) May 9, 2023
“ABM boleh mengesahkan hari ini dalam mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti keatas beberapa keputusan yang kurang baik melibatkan pemain Malaysia, Cik Michelle Chai telah menawarkan diri dan menghantar surat perletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia.
“ABM juga mahu mengumumkan bahawa Dr. Timothy John Jones, Pengarah Prestasi Tinggi ABM turut dilepaskan dari tugasannya berkuat kuasa serta merta,” tulis kenyataan itu.
Sebelum ini Michelle telah mengadakan sidang media pada sebelah pagi untuk menjelaskan keadaan yang berlaku di Kemboja dan dia mengakui tidak dapat menerima keputusan tewas kepada Filipina dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam kekalahan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Michelle Chai beri bayangan lepas jawatan CEO ABM