ATLET judo para negara, Muhammad Fattah Abu Bakar bertekad untuk menyumbangkan pingat emas pada temasya Sukan Para Asean (APG) yang bakal berlangsung pada 3 hingga 9 Jun akan datang di Phnom Penh, Kemboja.
Fattah yang berumur 38 tahun mempunyai masalah penglihatan sebelum ini pernah beraksi dalam sukan lain seperti tinju, karate, dan taekwondo.
“Pada 2008, saya ke Korat, Thailand (Sukan Para Asia) yang merupakan perlawanan serta pengalaman pertama saya dalam sukan judo dan berjaya mendapatkan pingat gangsa.
“Saya juga pernah beraksi di Korea (Sukan Dunia Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa) serta Guangzhou sebelum ini.
“Saya harapkan semua rakyat Malaysia boleh mendoakan kami agar dapat berjaya menyumbangkan pingat emas untuk Malaysia,” ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan.
Sementara itu, ketua jurulatih judo negara David Goh mengakui ianya adalah satu peluang yang baik untuk membuka langkah lebih jauh lagi dalam sukan judo Malaysia.
“Atlet kini berada dalam keadaan yang bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan Sukan Para Asean memandangkan kami telah berlatih dan mengambil kesempatan melalui peluang yang baik diberikan oleh kerajaan,” ujarnya.
Tambah Goh, beberapa negara antara pencabar utama bagi Malaysia adalah Vietnam, Thailand, Filipina dan juga Indonesia.
Dua lagi atlet yang bakal mengiringi Fattah dalam acara judo ini adalah Khairul Azmi, 32, dan Lee Chee Hock.