PENGENDALI Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi tetap memuji aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya meskipun tewas besar 1-5 kepada Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan A acara bola sepak wanita di Temasya Sukan SEA Kemboja pada Selasa.
Skuad wanita kebangsaan hanya berjaya menjaringkan satu gol meskipun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan serantau namun Soleen percaya dengan kewujudan Liga Bola Sepak Wanita, ianya akan menjadikan Malayan Tigress sebuah pasukan yang lebih baik selepas ini.
“Perlawanan bertemu Myanmar ini adalah yang paling sukar buat pemain kerana mereka sudah kelelahan apabila beraksi menentang dua pasukan yang kuat di rantau ini, Vietnam dan Filipina dalam keadaan persiapan yang singkat dengan pengalaman yang minimum.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan A Bola Sepak Wanita Sukan SEA 2023 | Selasa, 9 Mei 2023
MYANMAR 🇲🇲 5-1 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ July Kyaw 3' Khin Marlar Tun 26' 39' San Thaw Thaw 62' 82'
⚽️ Intan Sarah 58'#FAM #HarimauMalaya #MalayanTigress #Cambodia2023 pic.twitter.com/17gbumrLIx— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 9, 2023
“Mereka kehilangan fokus tetapi apa yang positifnya adalah mereka bermain dengan berani, menyerang, menjaringkan gol dan berjuang hingga ke akhir perlawanan. Banyak perkara yang masih boleh dilakukan dan pasukan ini akan menjadi pasukan yang lebih kuat selepas ini.
“Kami akan mulakan Liga Wanita selepas ini dengan penyertaan 10 pasukan selama 5 hingga 6 bulan dan akan pastikan pemain terbaik bermain dalam perlawanan yang kompetitif dan berkualiti manakala untuk pasukan kebangsaan senior dan junior pula, kami akan teruskan usaha pembangunan pasukan bermula dengan asas bola sepak,” katanya selepas perlawanan.
Soleen yang juga Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM juga mahu memastikan para pemain yang terpilih mewakili skuad kebangsaan selepas ini dilengkapi dengan kemahiran asas seperti hantaran bola untuk mengubah corak permainan secara keseluruhan.
“Anda semua dapat saksikan yang kami terpaksa bermain secara bertahan kerana ini sahaja cara yang boleh digunakan apabila berhadapan pasukan yang kuat. Ianya bagus untuk menghormati lawan tetapi pada masa ini bertahan adalah satu-satunya pilihan yang kami ada.
“Kami akan mulakan sistem bermain secara menyerang tetapi kami perlu pastikan pemain menguasai kemahiran asas terlebih dahulu sebelum dapat mengubah keseluruhan cara permainan di masa akan datang,” tambahnya.
Secara keseluruhan, skuad Malayan Tigress berjaya mempamerkan aksi terpuji apabila hanya tewas tipis kepada lawan yang bakal beraksi di Piala Dunia FIFA Wanita 2023 namun perjalanan mereka masih jauh dengan banyak perkara yang perlu diperbaiki.