ATLET lompat bergalah wanita, Nor Sarah Adi mencipta lompatan peribadi terbaiknya 4.05 meter (m) pada final acara itu biarpun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Meskipun catatan dibuatnya itu sama tinggi dengan lompatan dilakukan pemenang pingat emas, Chonthicha Khabut dari Thailand, kemenangan diberi kepada pesaingnya selepas Sarah didapati melakukan dua kali lompatan tidak sempurna pada ketinggian 3.85m dan 3.90m.

Sarah gagal melepasi ketinggian 3.85m dan 3.90m pada percubaan pertama berbanding Khabut, melepasinya dengan baik.

“Inilah rezeki saya, sekurang-kurangnya saya dapat melakukan lompatan terbaik peribadi selepas lebih dua minggu tidak jalani latihan dan tidak melompat, dengan kaki saya berbalut tapi masih boleh berikan aksi yang luar biasa.

“Cuma di situ… tuah tidak ada, apapun saya percaya dengan rezeki yang Allah tentukan itu sudah terbaik untuk saya dan matlamat saya mahu buktikan sesuatu untuk Malaysia sudah terlaksana,” kata Sarah.

Sarah memberitahu, dia mengalami kecederaan ligament kaki kanan lebih dua minggu lalu, dan tidak menjangkakan mampu mendapat keputusan sebegitu baik.

Catatan peribadi terbaik Sarah iaitu lompatan setinggi 4m, dilakukan Ketika dia memenangi pingat emas di Sukan Sea Hanoi tahun lalu, dan dia mengulanginya pada kejohanan dalam dewan Asia di Taiwan bulan lalu.

“Pada lompatan awal, mungkin saya lambat panas masih tercari-cari rentak pelepasan dan kekuatan, dua kali gagal… sedih tak dapatkan pingat emas buat Malaysia tapi setidak-tidaknya saya menghasilkan catatan yang lebih baik.”

Sarah dan Khabut melepasi ketinggian 4.05m dengan sekali lompatan, namun kedua-duanya gagal ketiga-tiga cubaan pada ketinggian 4.10m.